Monday, May 16, 2011

CONTOH KARANGAN TERBAIK
Cara terbaik untuk menghabiskan cuti sekolah yang panjang adalah dengan meluangkan waktu bersama-sama keluarga. Jelaskan…

Terdapat berbagai-bagai cara untuk menghabiskan cuti sekolah yang panjang, antaranya menyertai aktiviti yang diadakan oleh sekolah, melancong ke tempat lain, dan yang paling biasa- bermain komputer. Namun, selepas disimpulkan, meluangkan waktu bersama-sama keluarga merupakan cara yang terbaik untuk menghabiskan cuti sekolah yang panjang.

Melalui aktiviti bersama keluarga seperti melancong, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan. Keluarga juga akan menjadi lebih aman dan harmoni. Sebenarnya, keluarga yang harmoni banyak membantu untuk melahirkan masyarakat yang aman dan damai kerana keluargalah yang paling asas dalam melahirkan masyarakat yang harmoni. Tanpa keluarga, tiadalah masyarakat penyayang yang diharapkan.

Di bawah pengaruh keluarga yang bahagia, perkembangan minda kanak-kanak adalah lebih sihat. Mereka tidak akan berasa tertekan malah badan mereka akan menjadi lebih sihat untuk menjana kemampuan belajar yang lebih baik dan berkesan.

Dengan menyertai aktiviti kekeluargaan yang sihat, kanak-kanak akan berjalan ke arah kebaikan dan tidak akan memikirkan hal yang bukan-bukan sekali gus tidak akan membazirkan masa lapang mereka dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Risiko mereka untuk berkenalan dengan rakan yang kurang baik dapat juga dikurangkan. Biarpun ada kebarangkalian mereka diajak untuk melakukan sesuatu yang tidak baik seperti ponteng, bergentayangan dan lepak, namun mereka juga mempunyai peluang untuk menolak ajakan mereka sedaya upaya.

Sesungguhnya, usaha kita meluangkan masa yang berharga dengan keluarga yang tersayang merupakan langkah yang bijak ke arah melahirkan masyarakat penyayang yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga, bangsa dan negara yang tercinta.

No comments:

Post a Comment