Monday, April 25, 2011

KEPADA PELAJAR-PELAJAR TUISYEN DI BATU GAJAH DAN IPOH : SILA BACA KARANGAN CONTOH INI DAN JAWAB SEMULA DALAM MASA 30 MINIT.

CONTOH DAN LATIHAN KARANGAN GALUS PMR: PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT.



Tajuk: Penggunaan Telefon Bimbit.

Penggunaan telefon bimbit semakin popular dalam kalangan remaja. Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan boleh mengganggu kehidupan manusia dan remaja itu sendiri.
Sila berikan pendapat anda tentang peranan yang patut dimainkan oleh ibu bapa untuk mengawal penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja kini.

Tugasan: Menjelaskan peranan yang patut dimainkan oleh ibu bapa untuk mengawal penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja supaya penggunaannya tidak akan mengganggu kehidupan remaja dan orang lain seperti dari segi rutin, pergaulan, pelajaran dan kesihatan.

Jenis Soalan: Pendapat.

Format: Tiada

Isi
:
i) Mendidik remaja agar menggunakan telefon bimbit dengan betul.
ii) Menetapkan tempoh masa maksimum yang boleh digunakan oleh remaja.
iii) Membeli telefon yang agak sederhana sahaja nilainya untuk remaja.



Contoh Karangan

Penggunaan telefon bimbit telah menjadi satu trend dalam kalangan remaja. Meskipun telefon bimbit bukanlah alat keperluan mereka, mereka masih ingin memilikinya kerana pemilikan telefon bimbit akan melambangkan status. Oleh sebab remaja masih belum matang fikirannya, penggunaan telefon bimbit kadangkala mungkin menjejaskan kehidupan remaja itu sendiri kerana leka dengan hantaran khidmat pesanan ringkas (SMS), permainan internet yang dapat dimuaturunkan kedalam telefon bimbit dan berborak-borak dengan kawan. Pernah beberapa kali berlaku bil telefon bimbit remaja yang masih bersekolah telah mencecah ribuan ringgit. Selari dengan risiko penggunaan telefon bimbit, tindakan yang bijak perlu diambil untuk menangani penyakit ini sebelum remaja menjadi hamba kepada telefon bimbit ini.

Pada pandangan saya, ibu bapa perlu menggalas kewajipan untuk mendidik remaja supaya menggunakan telefon bimbit dengan betul. Telefon bimbit tidak boleh dibawa oleh remaja ke sekolah atau ke pusat tuisyen. Selain mengehadkan tempat penggunaan telefon bimbit, status pemilikannya perlu juga dibataskan, umpamanya ibu bapa berkongsi sebuah telefon bimbit dengan remaja. Dengan usaha ini, ibu bapa dapat memantau penggunaan telefon bimbit tersebut dengan melihat rekod panggilannya. Tujuan penggunaan telefon bimbit juga perlu dijelaskan kepada remaja. Penerimaan SMS atau membuat panggilan telefon di tempat yang tiada kemudahan telefon awam sahaja dibenarkan penggunaannya. Usaha ini perlu diambil kerana remaja suka menggunakan telefon bimbit untuk bercerita dan berborak-borak dengan rakan. Keseronokan bersembang menerusi telefon bimbit dan bersahabat dengan kawan yang tidak pernah ditemui akan menjejaskan tumpuan remaja terhadap pelajaran dan rutin kehidupan. Begitu juga dengan kesibukan meladen SMS yang dihantar oleh kawan. Dengan kata lain, ibu bapa hendaklah mendidik remaja tentang kesesuaian penggunaan telefon bimbit supaya telefon bimbit tidak disalahgunakan oleh remaja.

Ternyata semua telefon bimbit mengandungi gelombang radioaktif. Bercakap terlalu lama di telefon bimbit adalah tidak baik kepada kesihatan. Gelombang radioaktif daripada telefon bimbit akan memasuki sel otak semasa percakapan. Lantaran itu ibu bapa mestilah mengambil tindakan yang wajar demi untuk "mencegah sebelum parah". Untuk menangani masalah penggunaan telefon bimbit yang terlampau kerap, ibu bapa perlu bijak dan berhati-hati seperti "menarik rambut di dalam tepung". Sikap ini wajar diambil agar tidak menimbulkan sebarang konflik antara remaja dengan ibu bapa. Nasihat yang lemah lembut dan penerangan tentang mudarat telefon bimbit ke atas kesihatan perlu dilakukan dengan baik sebelum ibu bapa membelikan remaja telefon bimbit. Melainkan dalam keadaan terdesak dan terpaksa, remaja tidak boleh di benarkan membuat panggilan telefon melebihi tempoh masa atau bilangan kali sehari yang telah ditetapkan oleh ibu bapa.

Disebabkan keghairahan dan keseronokan memiliki telefon bimbit, remaja akan mencuba segala kemudahan yang disediakan di dalam telefon tersebut. Semakin mahal telefon bimbit, semakin canggih teknologi dan jumlah fungsi yang dapat digunakannya. Langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh ibu bapa sebelum membeli telefon bimbit untuk remaja. Elakkan membeli telefon yang mengandungi fungsi GPRS yang membolehkan permainan komputer di internet dimuaturunkan ke dalam telefon bimbit. Jika tidak remaja akan asyik dengan permainan tersebut sehingga pelajaran di sekolah turut diabaikan. Mereka akan bermain sehingga ke larut malam dan mengantuk pada siang hari sedangkan ibu bapa membentak kerana terpaksa menanggung bil yang mahal. Oleh hal yang demikian, pendirian ibu bapa hendaklah teguh dalam penentuan jenis telefon bimbit dan juga kenis perkhidmatan yang boleh dimiliki oleh remaja.

Sebagai rumusannya, ibu bapalah yang perlu menyelamatkan remaja daripada ketagih kepada telefon bimbit. Memandangkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja lebih mengarah kepada status dan bukannya satu keperluan, ibu bapa berhak mengawal penggunaan telefon bimbit. Jika tidak, pelbagai masalah yang tidak diingini akan wujud sebaik sahaja remaja mula menggunakan telefon bimbitnya. Kita sebagai manusia sepatutnya menjadi tuan kepada alat teknologi dan bukanlah sebaliknya.

No comments:

Post a Comment