Friday, June 12, 2009

Ruangan ini memberikan kesempatan kepada sesiapa sahaja, khususnya kepada calon PMR untuk mendapatkan soalan-soalan contoh penulisan karangan dan cuba menghasilkan karangan sendiri berdasarkan petua dalam ruangan Jom! Kita Mengarang.

SENARAI SOALAN
1. Anda merupakan ketua pasukan rumah sukan yang akan menyertai kejohanan olahraga tidak lama lagi. Sebagai ketua rumah, anda sibuk mengatur beberapa persediaan untuk memastikan rumah sukan anda menjadi juara.
Ceritakan persediaan-persediaan yang telah anda lakukan menjelang hari kejohanan tersebut.

2. Satu projek menghijaukan kawasan sekolah telah dijalankan untuk menyahut seruan kerajaan menghijaukan kawasan persekitaran.
Sebagai setiausaha Kelab Keceriaan sekolah anda dikehendaki menuliskan laporan tentang aktiviti tersebut untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. tuliskan laporan itu selengkapnya.

3. Usaha-usaha ke arah perpaduan terus mendapat perhatian semua pihak di negara ini sejak dahulu lagi.
Huraikan kepentingan-kepentingan perpaduan kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

4. Setiap bulan sekolah anda telah mengadakan pertandingan kelas terbersih.
Nyatakan langkah-langkah yang telah anda dan rakan-rakan sekelas anda lakukan untuk memastikan kebersihan kelas anda.

5. Unit berpakaian seragam yang anda anggotai telah mengadakan aktiviti perkhemahan tahunan di salah sebuah tapak perkhemahan di negara ini.
Sebagai setiausaha unit berpakaian seragam yang anda anggotai, anda dikehendaki menulis sebuah laporan yang lengkap sepanjang perkhemahan itu untuk diserahkan kepada guru penasihat.

6. Kebanyakan tempat pelancongan di negara ini telah mengalami pencemaran yang agak membimbangkan banyak pihak.
Huraikan punca yang menyebabkan perkara ini berlaku dan cadangkan langkah untuk mengatasinya.

7. Gejala lepak sering dikaitkan dengan sikap remaja pada masa kini yang gemar berpoya-poya.
Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini berlaku?

8. Sebuah kawasan lapang berhampiran dengan tempat tinggal anda telah dijadikan tapak pelupusan sisa toksik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tuliskan sepucuk surat kepada pihak yang berkenaan untuk mengadukan hal tersebut dengan menyatakan masalah yang dihadapi oleh penduduk yang tinggal berdekatan dengan tempat itu.

9. Kerajaan Malaysia sedang menjalankan kempen kitar semula secara besar-besaran di seluruh negara.
Bincangkan kebaikan-kebaikan Program Kitar Semula.

10. Anda telah menyertai pertandingan syarahan anjuran sekolah anda. Tajuk syarahan itu ialah ‘Kepentingan Budaya Membaca Kepada Masyarakat’
Tulis syarahan anda itu selengkapnya.
Jom! Kita Mengarang
Sebagai permulaan kita akan membicarakan komponen penting dalam penulisan karangan. Jom! Kita teliti komponen tersebut.

Teknik Penulisan Pendahuluan

Pendahuluan merupakan keterangan ringkas tentang perkara yang akan diketengahkan dalam karangan. Pendahuluan yang baik dapat memberikan gambaran menyeluruh tentang perbincangan dalam bahagian isi.

Teliti perkara-perkara berikut yang perlu ada dalam perenggan pendahuluan.

PERKARA PENTING DALAM PERENGGAN PENDAHULUAN

Ringkasnya perenggan pendahuluan mengandungi ayat-ayat yang disusun seperti berikut;

Kehendak soalan yang dikemukakan.



Isu atau perkara yang berkaitan dengan soalan.









Keterangan isu atau perkara yang berkaitan dengan kehendak soalan

HALA TUJU SOALAN (Sebab/langkah/kesan)

Bahagian terpenting yang kerap ditinggalkan oleh pelajar ialah HALA TUJU SOALAN yang menjuruskan karangan kepada kehendak soalan.

PENDAHULUAN CONTOH

Soalan : Kerajaan telah mengisytiharkan bahawa demam denggi telah menjadi wabak di negara ini.

Jelaskan langkah-langkah yang dapat diambil untuk mengatasi masalah ini.

(A1) Demam denggi merupakan ancaman yang tidak boleh dipandang ringan. (A2) Pertambahan bilangan pengidap demam denggi yang kian bertambah menyebabkan pihak kerajaan mengisytiharkan demam denggi sebagai wabak yang melanda negara kita. (A3) Masalah ini jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan wabak ini sukar dikawal. (A4) Pelbagai langkah dapat diambil bagi mengatasi masalah ini daripada merebak dan membahayakan nyawa terutamanya kanak-kanak.




CARA PENGOLAHAN ISI KARANGAN

Sesetengah pelajar beranggapan bahawa karangan mereka telah dikembangkan isinya apabila melihat perenggan yang ditulis mengandungi beberapa ayat. Tanpa disedari mereka kadang kala mencampuradukkan beberapa isi pokok dalam satu perenggan. Seharusnya satu perenggan isi hanya menghuraikan isi berkenaan sahaja bukannya perkara lain yang tidak mempunyai relevansi dengan perkara berkenaan.

Teliti contoh pengembangan isi di bawah yang dihuraikan secara mudah tetapi berkesan untuk menjelaskan perkara yang mahu disampaikan. Teknik ini agak mengikat idea pelajar, namun amat berkesan untuk memastikan pengembangan isi yang baik dan berkesan.

KESILAPAN DALAM PENGOLAHAN ISI KARANGAN

Mencampuradukkan isi dalam satu perenggan. Terdapat pelajar yang menulis perkara yang diketahui dan tidak menulis perkara yang dikehendaki dalam soalan. Misalnya soalan berkehendakkan faktor penyebab, pelajar memasukkan isi tentang kesan.

Tidak menuliskan contoh sebagai bukti huraian atau hujah yang disampaikan. Contoh dalam sesuatu huraian isi merupakan pengukuhan kepada isi yang mahu disampaikan.

Hanya memberikan tumpuan kepada satu aspek bagi soalan yang memerlukan huraian tentang beberapa perkara. Misalannya bagi soalan yang bertanyakan punca dan langkah, pelajar hanya memberikan punca tanpa memberikan perhatian terhadap langkah.

Soalan contoh 1

“Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak kebelakangan ini”.

Pada pendapat anda, siapakah yang bertanggungjawab menangani masalah ini.

Isi yang mahu disampaikan;

* Peranan ibu bapa mengawal aktiviti dan tingkah laku anak-anak.

APA

Apakah isi pokok yang mahu disampaikan

Ibu bapa merupakan pihak yang paling berkesan dalam usaha mengawal aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka.


MENGAPA

Mengapa boleh berlaku apa (isi pokok)

Hal ini disebabkan ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dan paling faham dengan aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka.





BAGAIMANA / KESAN DARIPADA APA

Bagaimanakah boleh berlaku apa (isi pokok)

Dengan demikian, ibu bapa dapat sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti yang dilakukan oleh remaja..






BUKTI / CONTOH

Apakah contoh yang dapat menunjukkan apa (isi pokok)

Misalnya, ibu bapa boleh memberikan teguran dan nasihat sekiranya tingkah laku dan perbuatan anak-anak mereka mula menampakkan unsur-unsur negatif.






PENEGASAN / RUMUSAN ISI

Kesimpulan daripada isi – kembali kepada persoalan pokok.

Sekiranya semua ibu bapa memainkan peranan masing-masing dengan berkesan, pembabitan remaja dalam kegiatan jenayah akan dapat dikurangkan..

Perenggan lengkap:

Ibu bapa merupakan pihak yang paling berkesan dalam usaha mengawal aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka. Hal ini disebabkan ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dan paling faham dengan aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka. Dengan demikian, ibu bapa dapat sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti yang dilakukan oleh remaja. Misalnya, ibu bapa boleh memberikan teguran dan nasihat sekiranya tingkah laku dan perbuatan anak-anak mereka mula menampakkan unsur-unsur negatif. Sekiranya semua ibu bapa memainkan peranan masing-masing dengan berkesan, pembabitan remaja dalam kegiatan jenayah akan dapat dikurangkan..

No comments:

Post a Comment