Tuesday, September 21, 2010

USAHA-USAHA MEMPERKUKUH PERPADUAN KAUM RAKYAT MALAYSIA

Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain , namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan damai. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memegang pada kekuatan jata negara, yakni “Bersekutu Bertambah Mutu”untuk mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan kaum di Malaysia seyogianya menjadi kebanggaan Negara kita.


Sebenarnya, kita bolehlah mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Masyarakat yang berbilang kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan. Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah menegaskan bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; perpaduan merupakan kekuatan negara. Oleh sebab itu, saya percaya bahawa jika kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati pembangunan nusa tercinta ini bersama-sama.


Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung ke rumah rakan-rakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kebudayaan antara kaum dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman dan membina masyarakat yang saling menghormati. Amalan rumah terbuka juga boleh dipraktikkan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia dengan amalan saling memaafkan sesama insan. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernih ternyata mampu menjalinhubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh.


Seterusnya, pihak kerajaan sentiasa membuat anjakan paradigma demi memperkuat jalinan kemesraan rakyat dengan mengadakan banyak aktiviti pada peringkat taman-taman perumahan. Dengan langkah bestari itu, kita dapat memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia. Misalnya, sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin dengan penduduk tempatan. Selain dapat mendengar rintihan hati rakyat, pemimpin turut dapat menjadi suri teladan sebagai agen perpaduan. Saya yakin, orang ramai yang berbilang kaum akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati antara satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham antara kaum.

Di samping itu, kita juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dengan menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaa . Dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan pemuda-pemuda yang tidak mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan antara kaum yang berlainan. Pergaulan mesra dan semangat bersatu padu yang dijalin ini sudah mampu menjadi tiang kukuh untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia patuh pada Rukun Negara. Hal ini sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia dalam sanubari anak-anak sejak bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua kekangan untuk mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan jika anak-anak telah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang berlainan kaum sejak kecil.

Tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat berkembang maju dengan lebih lancar bawah dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia mengenali peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum. Ingatlah wahai rakyatku bahawa semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agar Wawasan 2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata.
Peraturan Tatabahasa Menggunakan “bakal” dan “akan”

Perkataan "bakal" dan "akan" amat berbeza. Kita boleh menulis "bakal isteri" tetapi tidak boleh menulis "akan isteri".

Perkataan "bakal" merujuk pada "status".

a. Dia bakal tunang saya.
b. Dia tunang saya.
c. Dia bekas tunang saya.

Perkataan "akan" merujuk kepada "mode".

a. Dia belum berkahwin.
b. Dia akan berkahwin.
c. Dia sudah berkahwin.

"bakal" sentiasa diikuti oleh katanama:

bakal isteri (BETUL)
bakal tunang (BETUL)
bakal ayah mertua (BETUL)
bakal perdana menteri (BETUL)
bakal ketua pengarah (BETUL)

"akan" sentiasa diikuti oleh katakerja:

akan lahir (BETUL) = bakal lahir (SALAH)
akan berkahwin (BETUL) = bakal berkahwin (SALAH)
akan dinikahkan (BETUL) = bakal dinikahkan (SALAH)
akan berpisah (BETUL) = bakal berpisah (SALAH)
akan rujuk (BETUL) = bakal rujuk (SALAH)
KESALAHAN LEWAH PELAJAR DALAM PENULISAN

Kesalahan ayat
1. Rumus ayat pasif dengan pelaku ketiga ditandai oleh awalan di :
o Tidak ada apa yang mereka risaukan waktu itu.
o Ayahnya setuju walaupun melanggar syarat yang dia sendiri menetapkan.
o Semuanya dia kenal.
o Dia menjawab seperti disuruh-suruh oleh kuasa yang dia tidak tahu dari mana puncanya.
2. Jawapan sepatutnya:
o Tidak ada apa yang ‘dirisaukan (perkataan “oleh” jika tidak diletakkan juga betul)’waktu ini.
o Ayahnya setuju walaupun melanggar syarat yang ‘ditetapkan oleh dia’.
o Semuanya dikenal oleh dia’.
o Dia menjawab seperti disuruh-suruh oleh kuasa yang’tidak tahu oleh dia’dari mana puncanya.
3. Kata ganti diri pertama dengan kata kerja pasif disisipkan kata lain:
o Bola ini ‘ditendang oleh saya’.
o Makanan ini kamu telah makan’ ?
o Segala perubahan yang berlaku ‘kita akan menghadapi’ sama-sama.
4. Jawapan sepatutnya:
o Bola ini saya tendang’ .
o Makanan ini ‘telah kamu makan’ ?
o Segala perubahan yang berlaku ‘akan kita hadapi’ sama-sama.
“Perkara yang diterangkan mesti mendahului “penerang”:
1.
o Contoh ayat : Kakak saya sedang memasak gulai nangka. Dia menyenduk seketul nangka gulai dan menyuruh saya merasanya.
o (Dalam frasa nama *gulai nangka*, unsur yang diterangkan ialah gulai. Dalam frasa nama *nangka gulai* , unsur yang diterangkan ialah nangka. )
o Salah:
o Cili sos
o Mini perpustakaan
o Zaleha Restoran
o Jaya Klinik
o Betul:
o Sos cili
o Perpustakaan mini
o Restoran Zaleha
o Klinik Jaya
Kesalahan frasa dan kata
Kesalahan umum dari segi Kata jamak
1.
o Salah:
o mereka-mereka
o semua kereta-kereta
o para-para pelajar
o empat orang abang-abang
o Betul:
o mereka
o semua kereta
o para pelajar
o empat orang abang
Kesalahan umum dari segi Kata penguat
1.
o Salah:
o sangat tinggi sekali
o sungguh jauh sekali
o paling indah sekali
o amat menakutkan sekali
o Betul:
o sangat tinggi
o sungguh jauh
o paling indah
o amat menakutkan
Kata adjektif dan imbuhan “ter” tanpa penguat
1.
o Salah:
o Sani mendapat markah yang tertinggi sekali.
o Hassan ialah peserta yang termuda sekali dalam pertandingan itu.
o Betul:
o Sani mendapat markah yang tertinggi .
o Hassan ialah peserta yang termuda dalam pertandingan itu.
Kesalahan umum dari segi Kata hubung
1.
o Salah:
o Sally sedang membaca bila saya tiba di rumahnya.
o Badannya besar kecuali kakinya kecil.
o Betul:
o Sally sedang membaca apabila saya tiba di rumahnya.
o Badannya besar tetapi kakinya kecil.
Kesalahan umum dari segi Kata bilangan
1.
o Salah:
o Sekolah itu telah menjalan berbagai aktiviti semasa “Minggu Penyayang”.
o Beribu peniaga tidak membayar cukai pendapatan.
o Setengah remaja suka membuang masa di pasar raya.
o Betul:
o Sekolah itu telah menjalankan berbagai-bagai aktiviti semasa “Minggu Penyayang”.
o Beribu- ribu peniaga tidak membayar cukai pendapatan.
o Setengah- setengah remaja suka membuang masa di pasar raya.
Kesalahan umum dari segi Kata Sendi
i – Dari
1.
o Salah:
o Umar telah berpindah daripada sekolah ini bulan lalu.
o Daripada hari ini, saya akan belajar bersungguh-sungguh.
o Betul:
o Umar telah berpindah dari sekolah ini bulan lalu.
o Dari hari ini, saya akan belajar bersungguh-sungguh.
ii – Daripada
1.
o Salah:
o Tilam itu dibuat dari getah asli.
o Sukarmi lebih tinggi dari abangnya.
o Tinggal di rumah lebih baik dari tinggal di asrama.
o Betul:
o Tilam itu dibuat daripada getah asli.
o Sukarmi lebih tinggi daripada abangnya.
o Tinggal di rumah lebih baik daripada tinggal di asrama.
iii – Pada
1.
o Salah:
o Saya selalu pergi ke ibu kota di Hari Kebangsaan.
o Di petang semalam , saya pergi ke perpustakaan awam.
o Kita mestilah menumpukan taat setia dengan negara.
o Betul:
o Saya selalu pergi ke ibu kota pada Hari Kebangsaan.
o Pada petang semalam , saya pergi ke perpustakaan awam.
o Kita mestilah menumpukan taat setia pada negara.
iv – Di
1.
o Salah:
o Saya dilahirkan diSarawak.
o Ayah awak bekerja dimana ?
o Betul:
o Saya dilahirkan di Sarawak.
o Ayah awak bekerja di mana ?
Kesalahan umum dari segi Penjodoh bilangan
1.
o Salah:
o Setiap orang pelajar.
o Sesetengah orang rakyat.
o Seluruh buah negeri.
o Semua ekor binatang.
o Betul:
o Setiap pelajar.
o Sesetengah rakyat.
o Seluruh negeri.
o Semua binatang.
Kesalahan umum dari segi Kata ganti diri
1.
o Salah:
o Pencuri itu telah ditangkap. Beliau dibawa ke balai polis.
o “Kau tinggal di mana ?” tanya Siva kepada gurunya.
o Betul:
o Pencuri itu telah ditangkap. Dia dibawa ke balai polis.
o “Cikgu tinggal di mana ?” tanya Siva kepada gurunya.
Kesalahan umum dari segi Kata adjektif
1.
o Salah:
o Masakan yang dihidangkan oleh ibunya benar lazat.
o Pemandangan di pantai yang nian indah itu mempesonakannya.
2. Betul:
o Masakan yang dihidangkan oleh ibunya ‘lazat benar.
o Pemandangan di pantai yang indah nian itu mempesonakannya.
Kesalahan umum dari segi Kata kerja transitif
1.
o Salah:
o Ibu sedang jahit baju kurung.
o Ayah selalu cuci keretanya.
o Betul:
o Ibu sedang menjahit baju kurung.
o Ayah selalu mencuci keretanya.
Kesalahan umum dari segi Ayat pasif
1.
o Salah:
o Cerpen itu telah dikarang oleh saya.
o Latihan itu mesti dibuat oleh kau.
o Betul:
o Cerpen itu telah saya karang.
o Latihan itu mesti kaubuat.
Kesalahan umum dari segi Kata tanya
1.
o Salah:
o Kamu berasal dari manakah ?
o Apa nama pengawas itu ?
o Bila ayah akan pulang ?
o Binatang peliharaan awak bernama siapa ?
o Betul:
o Kamu berasal dari mana ?
o Siapakah nama pengawas itu ?
o Bilakah ayah akan pulang ?
o Binatang peliharaan awak bernama apa ?
Kesalahan umum dari segi Ejaan
1.
o Salah:
o Kucing itu tidur dibawah meja.
o Amin mendapat tempat ke tiga dalam acara itu.
o Ke tua mereka seorang yang bertanggungjawab.
o Ibubapa mestilah menunjukkan tauladan yang baik kepada anak-anak.
o Orangtua itu mewasiatkan harta pesakanya kepada anaknya yang bongsu.
o Betul:
o Kucing itu tidur di bawah meja.
o Amin mendapat tempat ketiga dalam acara itu.
o Ketua mereka seorang yang bertanggungjawab.
o Ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak.
o Orang tua itu mewasiatkan harta pusakanya kepada anaknya yang bongsu.
Kesalahan umum dari segi Kata Ganti Diri
1.
o Kata ganti diri ialah kata yang digunakan untuk mengganti kata nama orang.
o Kata ganti diri tidak boleh digunakan untuk benda atau binatang. Misalnya:
o Kucing itu mati. la dilanggar lori. (salah)
o Kucing itu mati dilanggar lori. (betul)
o Kata beliau boleh digunakan hanya untuk orang yang dihormati seperti ibu bapa, guru, menteri atau orang tua-tua, dan bukan kanak-kanak. Misalnya:
o Beliau ditangkap kerana mengedarkan dadah. (salah)
o Dia ditangkap kerana mengedarkan dadah. (betul)
o Semua kata ganti tidak boleh digandakan atau diulang menjadi kamu-kamu, anda-anda, mereka-mereka, dan sebagainya. Misalnya:
o Mereka-mereka yang bersalah akan dihukum. (salah)
o Mereka yang bersalah akan dihukum. (betul)
o Kata ganti ia dan nya tidak boleh digabungkan menjadi “ia. Misalnya:
o Jika tidak dirawat, mungkin ia akan lumpuh. (salah)
o Jika tidak dirawat, mungkin ia akan lumpuh. (betul)
o Kata ganti diri seperti beta, baginda, dan patik digunakan hanya dalam hubungan dengan kerabat diraja saja.
Kesalahan umum dari segi Kata Bilangan
1.
o Kata bilangan ialah kata yang pada umumnya digunakan untuk menghitung benda, misalnya satu, dua, dan seterusnya, atau beberapa, semua, dan sebagainya.
o Kata bilangan tak tentu setengahsetengah, kata bilangan pisahan tiaptiap, dan kata bilangan himpunan keduadua, dan sebagainya tidak boleh disingkatkan sewenangwenangnya. Lihatlah contoh #* Kesalahan dan pembetulan yang berikut:
(a)*Setengah orang tidak suka akan durian. (salah)
Setengah-setengah orang tidak suka akan durian. (betul)
(b)*Tiap pelajar harus berdisiplin. (salah)
Tiap-tiap pelajar harus berdisiplin. (betul)
(c)*Kedua orang itu anggota polis. (salah)
Kedua-dua orang itu anggota polis. (betul)
(d)*Berbagai usul dikemukakannya. (salah)
Berbagai-bagai usul dikemukakannya.(betul)
1.
o Kata bilangan tak tentu para pula tidak boleh diulang menjadi parapara. Lihatlah contoh kesalahan dan pembetulan yang berikut:
Para-para peserta sedang berbaris.(salah)
Para peserta sedang berbaris. (betul
1.
o Kata bilangan tentu seperti satu, dua, tiga, dan seterusnya tidak boleh didekatkan sekaligus dengan kata bilangan pecahan. Lihatlah contoh kesalahan dan pembetulan yang berikut:
(a) Sudah dua suku jam dia menunggu. (salah)
Sudah dua jam suku dia menunggu. (betul)
(b) Harganya tiga setengah ringgit. (salah)
Harganya tiga ringgit setengah. (betul)
Kesalahan umum dari segi Penjodoh Bilangan
1.
o Penjodoh bilangan digunakan bersama-sama dengan kata bilangan.
o Walau bagaimanapun, penjodoh bilangan tidak perlu digunakan ,bersamasama dengan kata bilangan seperti para, segala, sekalian, seluruh, semua, sebahagian, setengahsetengah, dan sebilangan. Misalnya:
(a) Para orang pelajar (salah)
Para pelajar (betul)
(b) segala ekor binatang (salah)
segala binatang (betul)
(c) sekalian orang peserta (salah)
sekalian peserta (betul)
(d) seluruh buah negari (salah)
seluruh negeri (betul)
(e) semua orang gadis (salah)
semua gadis (betul)
Kesalahan umum dari segi Kata Sendi
1.
o Kata sendi ialah kata yang digunakan bersamasama dengan frasa nama untuk menghubungkan frasa nama itu dengan katakata lain dalam ayat.
o Sebagai kata yang merangkaikan frasa nama dengan kata adjektif dan kata kerja tak transitif, kata sendi tidak boleh dilenyapkan. Misalnya:
(a) Ravi suka durian. (salah)
Ravi suka akan durian. (betul)
(b) Kami lalu jalan itu supaya cepat sampai. (salah)
Kami lalu di jalan itu supaya cepat sampai. (betul)
(c) Abang sudah pergi pejabat.(salah)
Abang sudah pergi ke pejabat. (betul)
(d) Kita mesti hormat guru. (salah)
Kita mesti hormat akan/kepada/ terhadap guru. (betul)
(e) Saya bertemu Ali di pasar pagi tadi. (salah)
Saya bertemu dengan Ali di pasar pagi tadi. (betul)
1.
o Elakkan penggunaan kata sendi yang diberikan dalam kurungan.
(a) Para pelancong dari Jepun. (bukan *daripada) (b) Ucapan itu daripada Encik Jamal. (bukan *dan) (c) Ali lebih tinggi daripada Ahmad. (bukan *dari) (d) Bekas itu dibuat daripada plastik. (bukan *dari) (e) Buku ini terdiri daripada tiga bahagian. (bukan *dari) (f) Pada waktu petang, saya membantu ayah. (bukan * di) (g) Buku itu ada pada Sheila. (bukan *dengan) (h) Pasu itu terhempas ke tanah. (bukan *di) (i) Encik Azman sudah berpindah ke Kelang. (bukan * di) (j) Buku itu sudah saga pulangkan kepada pustakawan. (bukan *ke) (k) Isa tertarik oleh kejelitaan gadis itu. (bukan * dengan) (l) Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang saudara-saudari berikan. (bukan * diatas)
Nyatakan kepentingan-kepentingan mewujudkan perasaan kekeluargaan dalam kehidupan masyarakat dalam era globalisasi ini.

Dewasa ini, hubungan kekeluargaan terutama di kawasan bandar tidak erat berbanding keluarga yang tinggal di kawasan pedalaman. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa tidak rapat dengan anak-anak mereka kerana jarang meluangkan masa bersama mereka. Kehidupan yang serba moden turut merenggangkan lagi hubungan kekeluargaan. Oleh itu,amat penting bagi masyarakat kita didedahkan dengan manfaat-manfaat mewujudkan perasaan kekeluargaan.

Kita dapat memastikan gejala sosial tidak mempengaruhi masyarakat terutamanya dalam kalangan remaja apabila eratnya ikatan kekeluargaan dalam hidup mereka. Remaja yang kurang perasaan kekeluargaan dan kasih sayang akan mudah terjebak dengan budaya kuning seperti merokok dan melepak di pusat beli-belah kerana mereka tidak mempunyai panduan hidup yang jelas. Lantaran itu,mereka memberontak dengan melakukan perkara yang tidak sihat untuk mendapat perhatian orang ramai. Selaras dengan itu,ibu bapa perlu memupuk perasaan kekeluargaan terhadap anak-anak mereka sejak kecil lagi.

Selain itu, kadar jenayah di negara kita dapat dikurangkan dengan drastik. Kebanyakan kajian membuktikan pencetus utama penjenayah melakukan kesalahan undang-undang seperti membunuh dan merogol adalah disebabkan masalah kekeluargaan. Mereka hilang pertimbangan sehingga melakukan jenayah kerana tertekan dan cuba mencari jalan penyelasaian bagi masalah mereka. Ketiadaan keluarga untuk menjadi tempat mereka meluahkan masalah menjurus isu ini berlaku. Sehubungan dengan itu, pelbagai program bercorak kekeluargaan seperti Hari Bersama Keluarga perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Secara tidak langsung, negara kita akan sentiasa dalam keadaan aman dan damai apabila masalah gejala sosial dan kadar jenayah berkurangan. Negara yang harmoni dan tiada masalah dalaman mahupun luaran mampu melahirkan masyarakat yang tinggi nilai kekeluargaan. Hal ini demikian kerana,mereka bebas melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga tanpa memikirkan masalah-masalah yang menimpa negara mereka. Oleh sebab itu,semua pihak perlu bekerjasama menjaga keamanan negara.

Prokditiviti rakyat turut bertambah kerana mereka berasa gembira melihat keluarga yang bahagia dan keadaan negara aman yang makmur.Rakyat negara yang harmoni pasti berwawasan dan mempunyai modal insan yang tinggi. Malahan, mereka dapat menjaga kebajikan keluarga seterusnya meningkatkan taraf hidup keluarga,bangsa dan negara mereka. Pertumbuhan ekonomi negara turut berkembang dengan pesat. Oleh itu, nilai positif ini perlu diwujudkan supaya kebahagiaan sesebuah keluarga dapat dikekalkan.

Malah, imej negara pada mata masyarakat dunia terus bersinar. Keluarga yang bahagia menghasilkan semua impak yang positif. Masyarakat luar akan melihat kejayaan ini dan cuba menyebarkan kejayaan itu di negara mereka. Tindakan ini akan menyebabkan semua masyarakat luar akan mengenali rahsia kejayaan Malaysia ialah kekuatan sistem keluarga mereka. Maka, rakyat negara ini boleh berbangga kerana mereka dipandang tinggi oleh masyarakat asing.

Kesimpulannya,terdapat banyak faedah yang kita mampu peroleh apabila mempraktikkan nilai kekeluargaan dalam kehidupan seharian. Situasi ini dapat memastikan kehidupan yang kita jalani pada masa hadapan lebih berkualiti dan bermakna kerana kita mempunyai keluarga yang menjadi penyebab seseorang itu meneruskan kehidupannya.Justeru,masyarakat tidak boleh bersikap acuh tak acuh dengan nilai-nilai murni ini agar mereka dapat melahirkan sebuah keluarga yang sempurna.
Sebagai wartawan sebuah majalah sukan, anda ditugaskan untuk menulis rencana yang bertajuk “Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara”.

Tulis rencana itu selengkapnya.

Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara
Oleh: Mohd Shahir Mohd Shah

Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam semua perlawanan pada Kejohanan Piala Asia (AFC) serta tumbangnya jagoan badminton negara dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Itu belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran “jaguh kampung?” Ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa pun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.

Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan-persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara “sebulat suara” ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah “dianak tirikan” oleh mereka. Kedangkalan ilmu tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, bak kata pepatah, “hanya jauhari yang mengenal manikam”.

Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing dan mampu mengibarkan cabaran negara pada peringkat antarabangsa. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup banyak untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman pernah menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus gagal membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mampu memecah penguasaan China dan Indonesia dalam arena badminton. Biarpun munculnya “gandingan emas”, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, namun kegagalan pasukan negara dalam Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu menterjemahkan segala-galanya. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan pengemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya “sinar di hujung terowong” dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.

Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri di dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian ratu squasy negara, Nicole Ann David sehingga membolehkan beliau berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang tidak putus-putus dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, “seperti melepaskan batuk di tangga”. Sebaliknya ia menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan para atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.

Sesungguhnya kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus berlanjutan kerana ia sedikit sebanyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh tahun, seharusnya ia telah mematangkan pencapaian kita dalam bidang sukan. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah “pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di tangan”, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia. “Majulah sukan untuk negara!”
TAJUK RAMALAN 2010

Tuesday, September 14, 2010

JAWAPAN MODUL TATABAHASA 1