Wednesday, February 4, 2009

Soalan:
Mengapakah frasa contoh ayat salah? Yang betul ialah ayat contoh, karangan contoh, jawaban contoh. Bagaimanakah pula dengan frasa contoh karangan cemerlang, contoh karangan gred A? Adakah frasa-frasa ini salah?
Drp:
Cikgu J
Jawaban:
Dari segi Hukum DM, frasa yang tepat ialah `ayat contoh’. Perkara yang diterangkan ialah ayat, bukan contoh. Oleh sebab itu, ayat mestilah didahulukan. Oleh sebab itulah dikatakan `ayat contoh’. Penggunaan ungkapan `contoh ayat’, `contoh karangan cemerlang’, `contoh karangan gred A’ sebenarnya kebiasaaan pengguna bahasa. Apabila hal ini sudah menjadi biasa dan mantap, penggunaan ungkapan ini dianggap betul. Satu soalan yang menarik: Anda ingin melihat rumah contoh atau contoh rumah? Tepuk dada, tanyalah selera. Oleh itu, sebagai pengguna bahasa, kita mestilah berpegang pada ungkapan, “Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.”

Sebagai guru atau pemeriksa pula, kita janganlah menghukum pelajar yang menggunakan frasa `contoh karangan’, `contoh ayat’, dan sebagainya kerana penggunaan frasa ini sudah mantap. Sebagai guru bahasa, peranan kita ialah mendidik mereka bahawa jawaban yang tepat ialah `karangan contoh’, `ayat contoh’, dan sebagainya. Melalui cara ini, pada suatu hari nanti, masyarakat akan faham tentang Hukum DM yang terdapat dalam bahasa Melayu.

(Sumber: http://agy7500.blogspot.com).

No comments:

Post a Comment