Friday, October 30, 2009

BAHAN MAKLUMAT - KONSEP 1 MALAYSIA ( PENJELASAN MENGENAI LAPAN NILAI)

‘1 MALAYSIA’

(Disediakan Oleh: Bahagian Penerbitan Dasar Negara)

1. PENGENALAN


Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.

2. DEFINISI

Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;

Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

2.1 Huraian
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :

2.1.1 Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing.

Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.

Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.

Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.

2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia

“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.

Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.


3. PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA

Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:

3.1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.

3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.


4. KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.


5. HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU

Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.

Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.


6. MATLAMAT

‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.


‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

7. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA

Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:

1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti

7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.

7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.

7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.

7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.

7.2. KETABAHAN

Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.

7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.

7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.

7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.

7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.

7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya

7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan

7.5.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

7.3 RENDAH HATI

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.

7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.

7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.

7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.

7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.

7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.


7.4. PENERIMAAN

Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.

7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.

7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.
7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.


7.5 KESETIAAN

Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.

7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.

7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.

7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.

7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.

7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.

7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.

7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.

7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.

7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.

7.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

7.6 MERITOKRASI

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.

7.6.1 Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik
atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut..

7.6.2 Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.

7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.

7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.

7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

7.7 PENDIDIKAN

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.

7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.

7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.

7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.

7.7.4 Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.

7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.


7.8 INTEGRITI

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.

7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.

7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

7.8.4 Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.

7.8.5 Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan

7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.

7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.


8. KESIMPULAN


Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.

Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.

Monday, October 26, 2009

TIPS UNTUK PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN 2009
1. MENATAP WAJAHNYA / ANNYSS SOPHEALLEA
2. BAYAN YANG TIDAK MENDENGAR KATA / HANG TUAH BERTIKAM DENGAN HANG JEBAT
3. GURINDAM BARIS HADAPAN / SELOKA PAK KADUK
4. NOVEL- PENGAJARAN / NILAI / KAEDAH-KAEDAH YANG DIGUNAKAN OLEH WATAK UNTUK MENANG DALAM PERLUMBAAN
Kepentingan bangunan bersejarah di negara ini mula dilupakan kerana banyak bangunan ini telah dirobohkan untuk membina bangunan baru.

Huraikan.


Bangunan bersejarah sememangnya begitu banyak di negara ini terutama di Melaka dan Pulau Pinang tetapi malangnya dek kerakusan ekonomi semakin banyak bangunan ini yang sudah tidak lagi mampu berdiri sendirinya. Ada yang berpendapat bangunan ini harus dikekalkan kerana mempunyai banyak impak yang positif terutama kepada kehidupan masyarakat tetapi ada juga yang menolaknya. Pihak media massa turut serta dalam diskusi hebat untuk menentukan sama ada pembangunan lebih penting atau pengekalkan warisa yang maha penting. Sesungguhnya, ada banyak perkara baik yang boleh terhasil menerusi pengekalan bangunan bersejarah ini.

Impak yang paling baik pengekalan bangunan sebegini sudah pasti daripada aspek pelancongan. Industri pelancongan akan menjadi lebih besar kerana masyarakat asing memang suka melihat kesan-kesan sejarah sebegini. Bangunan ini juga memerlukan kos yang tinggi kerana tidak perlu dibina tetapi hanya dikekalkan sahaja kerana sudah lama dibina oleh penjajah atau penduduk di negara ini. Jadi, kalau bangunan lama dan bersejarah ini dikekalkan sektor pelancongan negara akan menerima kesan yang paling ketara.

Lantaran itu peluang kerja turut berupaya diwujudkan akibat kehadiran pelancong ini. Bukan sahaja kerja yang berkait terus dengan industri ini seperti pemandu bas pelancong tetapi juga kerja sampingan seperti kedai makan, hotel dan pengangkutan awam serta kedai kraf tangan akan menerima tempias kedatangan pelancong asing ini. Masyarakat di negara in tidak akan berasa bimbang kehilangan kerja kerana mereka mudah untuk memperoleh kerja yang lain pula. Oleh itu, pengekalan bangunan bersejarah mampu memastikan semua penduduk di negara ini memiliki pekerjaan.

Tambahan pula, nilai atau perasaan cinta akan negara sudah pasti berkembang dengan baik dalam naluri penduduk terutama remaja di negara ini. Perasaan ini wujud kerana bangunan bersejarah mempunyai kaitan dengan peristiwa penting yang berlaku di negara kita. Kewujudan bangunan ini sepanjang zaman memastikan rakyat terus mengingati kepentingan peristiwa sejarah itu kepada pembangunan negara. Jelaslah, negara akan memiliki rakyat yang tinggi perasaan nasionalismenya.

Begitu juga dengan imej negara terus tersohor pada mata masyarakat dunia kerana memiliki sikap menghargai peninggalan sejarah. Masyarakat yang menjaga bangunan bersejarah akan dianggap bangsa yang menghargai budaya dan sumbangan pemimpin lamanya. Sikap ini sudah pasti akan menimbulkan satu kesan positif dalam setiap pandangan masyarakat terhadap negara kita. Jadi, kita bukan sahaja menerima kesan ekonomi tetapi imej kita sebagai bangsa yang menghargai budaya turut diketahui umum.

Kesimpulannya, penjagaan bangunan lama harus dilakukan demi negara kita yang tercinta ini. Semua pihak tanpa mengira umur dan keturunan harus ada tanggung jawab menjaga bangunan sebegini. Kita tidak harus mengutamakan kemodenan sahaja kerana tanpa sejarah tiadalah kemodenan yang kita kecapi kini. “Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas” membuktikan betapa bangunan bersejarah ini penting buat kita.
Semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum. Huraikan kebaikan kegiatan kokurikulum.

Dalam sistem persekolahan Malaysia, semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum. Kegiatan ini merujuk kepada sebarang bentuk aktiviti yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah yang melibatkan aktiviti seperti unit beruniform, persatuan atau kelab dan permainan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum akan mendatangkan pelbagai kebaikan kepada mereka. Kebaikan ini bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada pelajar semasa di sekolah tetapi juga pada masa hadapan dan dunia kehidupan pelajar di mata masyarakat. Oleh hal yang demikian, semua pelajar harus digalakkan supaya bergiat aktif dalam kegiatan ini.

Pertama-tama, kegiatan kokurikulum berkemampuan untuk memupuk nilai disiplin yang tinggi dalam diri pelajar. Hal ini disebabkan para pelajar yang menyertai kokurikulum akan dilatih mematuhi peraturan, menepati masa, menghormati pemimpin dan perlu bekerjasama dalam kumpulan. Maka, para pelajar dapat dilatih menjadi lebih disiplin dan mampu menjalani dunia kehidupan seharian dengan betul, yakin dan bertanggungjawab.

Jika berdisiplin, seseorang pelajar itu mampu merancang masa depannya dengan kejayaan pada suatu hari nanti. Sikap menepati masa pula dapat melatih seseorang untuk menguruskan masa mereka dengan bijak supaya sesuatu tugasan yang diamanahkan dapat disempurnakan pada masa yang tepat. Oleh itu, pelajar wajarlah melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum yang bermanfaat ini.

Kegiatan kokurikulum juga mampu mencungkil bakat-bakat pelajar khususnya bakat kepimpinan kerana remaja pelajar pada hari ini merupakan bakal umarak bangsa yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sebenarnya, kegiatan kokurikulum merupakan wadah kepada generasi pelajar untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pertubuhan. Situasi ini memberi mereka suatu keyakinan yang mantap terhadap kemampuan diri untuk melayari bahtera kehidupan di lautan yang senantiasa bergelora ini. Jadi, mereka akan dapat mengenal pasti dan menggilap bakat yang sedia ada untuk mengembangkannya ke tahap maksimum supaya mereka akan menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang kelak.

Masa yang terluang dapat diisi dengan aktiviti yang berfaedah di samping mengelakkan pelajar daripada terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat dan tidak bermoral. Misalnya, aktiviti kokurikulum dapat membantu pelajar-pelajar menimba pengalaman, kemahiran, dan pengetahuan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran. Dalam masa yang sama, pembabitan pelajar akan memastikan mereka agar tidak terbabit dalam aktiviti yang tidak sihat seperti bergentayangan di pusat beli-belah, terlibat dalam jenayah, penyalahgunaan dadah dan maksiat. Ringkasnya, mereka kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat.

Selanjutnya, kegiatan kokurikulum turut menjadi batu loncatan kepada para pelajar yang akan melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan. Kebanyakan institusi pengajian tinggi awam bukan sahaja amat mementingkan prestasi pelajaran pelajar tetapi juga prestasi kokurikulum juga. Maka, pelajar yang terlibat aktif akan mendapat kelebihan dari segi peluang kemasukan ke IPT. Perkara ini akan menjadi dorongan kepada pelajar supaya melibatkan diri dan mengelakkan sikap acuh tak acuh pelajar terhadap kegiatan kokurikulum di sekolah.

Kegiatan kokurikulum juga dapat menyihatkan badan pelajar. Peluh yang keluar dapat menghilangkan sisa toksik badan dan menyegarkan tubuh bak kata pepatah otak yang cergas berada pada badan yang sihat. Pelajar pada era moden ini sering menghadapi masalah dan rintangan kesihatan. Justeru, melalui pembabitan yang berkesinambungan dalam kegiatan kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Hal itu disebabkan aktiviti kokurikulum seperti permainan bola tampar, Kadet Remaja Sekolah, Kelab Teater dan sebagainya mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada buana peperiksaan yang cukup mencabar minda dan ketabahan diri mereka. Dalam erti kata yang lain, minda mereka dapat berehat sebentar apabila pelajar melakukan aktiviti kokurikulum sama ada di sekolah atau di luar sekolah.

Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum haruslah dipantau dan dijalankan di setiap sekolah tanpa gagal dalam usaha kita untuk melahirkan generasi pelajar yang bakal menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkeupayaan untuk memangkinkan pembangunan bangsa dan negara selaras dengan gagasan perdana negara, iaitu Gagasan Satu Malaysia!

Monday, October 5, 2009

Buku teks tingkatan 5 (penting untuk calon SPM pada tahun 2009)
1.Anak buah
~ pengikut
2.Bagai aur dengan tebing
~ saling membantu
3.bak cendawan tumbuh selepas hujan
~ wujud dengan banyak / jumlah yang banyak
4.berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
~ berusaha dengan gigih untuk mendapatkan kesenangan
5.berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
~ bekerjasama / susah dan senang dihadapi bersama-sama
6.bersatu teguh, bercerai roboh
~ perpaduan
7.besar hati
~ berbanga
8.biar mati anak, jangan mati adat
~ orang berpegang teguh pada ada tradisi
9.sarabil berdendang, biduk hilir
~ buat dua tugas pada masa yang sama
10.sambing berdiang nasi masak sambing; sambil menyelam minum air
~ buat dua tugas pada masa yang sama
11.sampai hati
~ sanggup melakukan sesuatu
12.sekali membuka pura, dua tiga hutang berbayar
~ dengan melakukan satu kerja, dapat mencapai beberapa hasrat
13.seperti aur ditarik songsang
~ banyak masalahnya
14.seperti ikan pulang ke lupuk
~ pulang ke tempat asal
15.seperti lipas kudung
~ sangat cepat
16.tidur-tidur ayam
~ tidur dengan tidak lena
17.ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
~ orang yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya (maruah diri )
18.umpama menatang minyak yang penuh
~ penuh kasih sayang
19.yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran
~ yang diusahakan tidak dapat, yang ada hilang

Antologi kerusi

1.ada hati
~ ingin, tetapi tidak berdaya
2.air muka
~ wajah / nama baik
3.air seni
~ air kencing
4.merendah diri
~ tidak sombong
5.air setitik dilautkan, tanah sekepal digunungkan
~ perkara kecil dibesar-besarkan
6.akar umbi
~ sangat mendalam
7.ambil berat
~ memberi perhatian serius
8.anak dagang
~ orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat
9.anak dipijak, dagang dijinjing
~ mengutamakan orang lain daripada ahli keluarga sendiri
10.anak emas
~ anak yang sangat disayangi
11.pak turut
~ tidak pernah membantah
12.atas angin
~ dapat untung tanpa kerja kuat ; negara-negara sebelah barat
13.pandai makan, pandai simpan
~ pandai merahsiakan perbuatan jahat
14.bagai pinang dibelah dua
~ sama cantik ; sama padan
15.berbadan dua
~ hamil
16.berpatah arang, berkerat rotan
~ perpisahan yang tidak akan berbaik lagi
17.berpeluk tubuh
~ malas / berdiam diri
18.bertegang leher
~ bertengkar dan tidak mahu mengalah
19.bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi
~ kedua-dua belah pihak sama-sama bertangggungjawab
20.bunga bangsa
~ orang yang berjasa pada negara
21.buta huruf
~ tidak tahu membaca dan menulis
22.cahya mata
~ anak
23.darah panas
~ lekas marah ; bernafsu
24.datang tak dijemput, pulang tak berhantar
~ tetamu yang tidak dimuliakan
25.gelap mata
~ hilang akal waras kerana tamak
26.gunting makan di hujung
~ kata-kata yang sopan tetapi tajam maknanya
27.hilang akal
~ bingug
28.isi hati
~ perasaan sebenar
29.menaruh hati
~ mencintai
30.mencari akal
~ mencari akal
31.mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan
~ kerana mengharap yang belum pasti, yang ada dibuang
32.minta diri
~ meminta izin pulang
33.mulut kena suap pisang, buntut kena cangkuk onak
~ kata-kata manis yang berniat jahat
34.murah hati
~ pemurah
35.nampak belang
~ terbukti sifat sebenarnya
36.orang kanan
~ pembantu yang diharapkan
37.patah dahan tempat bernaung, patah lantai tempat berpijak
~ hlang tempat berlindung
38.patah perang
~ kalah perang
39.patah tumbuh, hilang berganti
~ tiap-tiap perkara ada gantinya
40.pijak semut tak mati
~ berpura-pura berkelakuan baik di hadapan orang

41.pinang pulang ke tampuk
~ kena pada tempatnya ; secocok benar
42.pucuk dicita ulam tiba
~ dapat lebih baik dari yang dihajat
43.putus asa
~ kecewa
44.rendah gunung, tinggi harapan
~ harapan yang besar
45.ringan tulang
~ rajin
46.seperti merak mingigal di tengah hutan
~ menunjukkan pandai pada orang bodoh
47.terus mata
~ pandai membaca apa yang tersembuyi
48.tunjuk belang
~ menampilkan sifat sebenar
49.ukur baju di badan sendiri
~ menilai kemampuan diri

Tambahan peribahasa
1.bukit sama didaki, lurah sama dituruni, ke laut sama direnangi
~ perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama
2.bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat
~ kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat
3.cari jalan
~berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara
4.di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
~ perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu
5.di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
~ menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal
6.genggam bara api biar sampai jadi arang
~ membuat sesuatu yang sukar hendaklah bersabar, sehingga mencapai kejayaan
7.hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
~ pengagihan yang sama banyak
8.hujan emas di negari orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negara sendiri
~ walaupun mewah di negari orang, negeri sendiri juga yang lebih baik
9.ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua
~ dalam perkongsian, susah satu, susah semua
10.darah daging
~ anak atau saudara-mara daripada keturunan sendiri
11.indah khabar daripada rupa
~ perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan~
13.jejak langkah
~ mengikut kelakuan / kejayaan seseorang
14.kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
~ tidak akan tercapai maklamatnya kalau tidak berusaha dan bersusah payah
15.kecil hati
~ tersinggung
16.jatuh hati
~ cintai seseorang
17.lintah darat
~ peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi
18.kaki ayam
~ tidak berkasut
19.masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak
~ menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan
20.melentur buluh biarlah dari rebungnya
~ mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi
21.muafakat membawa berkat
~ perlu bersatu padu
22.membaca jambatan ilmu
~ pengetahuan dapat dikuasai dengan membaca buku ilmiah
23.padang jarak padang tekukur
~ musnah sama sekali
24.memerah otak
~ berfikir dengan bersungguh-sungguh
25.pelanduk selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk
~ penjenayah lupa pada jenayahnya, tetapi si mangsa sentiasa ingat
26.mencegah adalah lebih baik daripada mengubati
~ sikap berjaga-jaga dapat mengelakkan kejadian yang negatif
27.mengambil bahagian
~ ikut serta
28.mengambil hati
~ menyenangkan hati orang supaya diri disukai
29.rezeki kalau secupak tak akan jadi segantang
~ menerima sesuatu dengan seadanya
30.nafsu baru
~ sumber baru untuk memulihkan
31.seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing
~ mementingkan diri
32.rajin dan usaha tangga kejayaan
~ untuk berjaya perlu berusaha dengan gigih
33.sediakan payung sebelum hujan
~ berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana
34.terang hati
~ lekas pandai
35.sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit
~ sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga
36.seperti kacang lupakan kulit
~ melupakan budi baik orang
37.sepoi-sepoi bahasa
~ angin lembut