Monday, June 15, 2009

Sukan bukan sahaja sebagai aktiviti yang menyihatkan badan, malah bernilai komersial serta boleh mengharumkan nama ssebuah negara. Bincangkan kepentingan sukan kepada diri dan negara.

KEPENTINGAN SUKAN KEPADA DIRI DAN NEGARA

(Pendahuluan/contoh) Kata Charles Swindoll, “Orang yang berjaya bukanlah orang yang memendam semangatnya kerana takut gagal, bukan juga orang yang tidak pernah gagal, tetapi ialah orang yang masih tetap maju ke depan sungguhpun menempuh kegagalan”. (Huraian) Kata-kata di atas segaja dipetik untuk membuktikan bahawa atlet Malaysia walaupun sering kecundang di pentas antarabangsa, tetapi boleh maju jika ada kesungguhan untuk meraih kejayaan. (Huraian) Sesungguhnya kejayaan dalam bidang sukan amat penting kepada diri sendiri dan juga negara. (Huraian) Oleh itu, tiada sebab mengapa kita harus bersikap negatif terhadap sukan, sedangkan banyak faedah yang boleh diperoleh apabila melibatkan diri dalam bidang sukan.

(Huraian) Apakah kepentingan sukan kepada seseorang? (Isi 1) Sebenarnya sukan dapat melahirkan insan yang cerga dan cerdas. (Contoh) Aktiviti sukan melibatkan pergerakan anggota badan. (Contoh) Senaman mampu menguatkan sendi-sendi dan otot-otot tubuh menyebabkan lemak yang termendap dalam badan dapat digunakan untuk menjana tenaga. (Kesan) Aktiviti sukan dapat membantu proses perpeluhan dan menghilangkan panas badan. (Contoh) Dengan ini, merka yang aktif dalam sukan akan terhindar daripada pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung dan diabetes, seperti kata pepetah “otak yang cerdas terletak pada badan yang sihat”.

(Isi 2) Sukan juga boleh mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan. (Kesan) Kemajuan dalam bidang sukan boleh meningkatkan permintaan terhadap alatan sukan. (Kesan) Oleh itu, mereka yang terlibat dalam bidang peralatan sukan seperti bola dan pakaian sukan meraih keuntungan yang berlipat ganda. (Huraian) Selain itu, usaha menyediakan pelbagai kemudahan prasarana sukan mendatangkan hasil yang lumayan. (Conto) Misalnya, untuk membina gelanggang permainan, stadium, dan kolam renang bertaraf antarabangsa, peluang perniagaan terbuka luas kepada kontraktor dan pembekal bahan binaan. (Kesan) Malah peluang-peluang pekerjaan dapat diwujudkan.
(Huraian) Ketika bersukan, kita akan melupakan warna kulit. (Contoh) Kita tidak pedli sam ada rakan sepermainan itu orang Melayu, Cina, atau pun India. (Contoh) Sebagai contoh, sebelum sesuatu pertandingan, kebiasaannya para atlet atau pemain akan berkumpul di kem latihan dalam tempoh tertentu, biasanya tidak kurang dari seminggu. (Huraian) Di situlah mereka tinggal, berlatih, makan, dan berehat. (Isi 3) Pergaulan dan interaksi sesama atlet dan pemain daripada pelbagai kaum mampu mewujudkan perpaduan kaum. (Kean) Ketika pertandingan dijalankan, mereka akan mempunyai satu misi untuk mengharumkan nama sekolah, negari, ataupun negara tanpa memikirkan warna kulit.
(Isi 4) Sukan mampu mengangkat martabat negara ke mercu yang lebih tinggi. (Huraian) Pencapaian dalam bidang sukan menyebabkan nama Malaysia terukir di pentas antarabangsa. (Contoh) Dengan mengambil contoh kejayaan Mohd. Hafiz Hashim yang menjadi juara Seluruh England dalam permainan badminton pada awal 2003 menyebabkan nama negara disebut-sebut. (Huraian) Sebelum ini tidak ramai masyarakat dunia yang mengenali Malaysia. (Kesan) Tetapi dengan sukan, mata masyarakat dunia seakan-akan mula terbuka. (Kesan) Dalam jangka panjang keyakinan mereka bukan sahaja kepada sukan, tetapi dalam bidang-bidang lain seperti pelancongan dan perindustrian.

(Isi 5) Sukan boleh mengatasi pelbagai masalah sosial. (Contoh) Sejak akhir-akhir ini, masyarakat didedahkan dengan masalah remaja yang suka melepak, bohsia, penyalahgunaan dadah, dan vandalisme. (Huraian) Memang banyak faktor yang memungkinkan masalah ini berlaku. (Huraian) Tetapi yang paling jelas, masalah ini berpunca daripada remaja yang tidak tahu memanfaatkan masa yang terluang. (Kesan) Jika merka meminati aktiviti sukan, masa yang terluang selepas habis sekolah atau bekerja, mereka akan ke gelanggang permainan. (Contoh) Selepas selesai mengikuti sesi permainan, badan sudah letih dan malam pun telah tiba. (Kesan) Jadi, tiada ruang untuk berfikir untuk bertemu rakan-rakan yang suka melepak.
(Isi 6) Bagi seorang pelajar, sukan mampu mendidik pelajar untuk belajar menerima kegagalan. (Contoh) Sebagai contoh, sudah menjadi adat pertandingan, ada menang dan ada kalah. (Huraian) Kita akan berasa gembira apabila berjaya dan akan berduka apabila gagal. (Kesan) Namun, oleh sebab hal ini sudah kerap dialami, menyebabkan hati kita cekal menghadapi apa sahaja; gagal dalam peperiksaan, percintaan, dan pekerjaan. (Kesan) Yang akhirnya kita menjadi seorang yang tabah, berani, dan sentiasa mahu mencuba.
Jangan dilurut padi muda,
Kalau dilurut luka tangan;
Jangan dituruti hati muda,
Kalau turut susah berpanjangan.

(Huraian) Sesungguhnya diri sendirilah yang bakal mencorakkan masa depan. (Huraian) Jangan sesekali mengikutkan hati mudah. (Huraian) Daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah, lebih baik memanfaatkan masa dengan bersukan.

Saturday, June 13, 2009

Rumusan

1. Dikemukakan sebagai Soalan 1 dalam Kertas 1103/2 Bahasa Melayu SPM.

2. Panjang petikan yang dikemukakan kira-kira 350 patah perkataan.

3. Panjang rumusan yang dibuat tidak melebihi 120 patah perkataan.

4. Markah yang diperuntukan sebanyak 30 markah.

Rumusan Yang Cemerlang

1. Rumusan yang cemerlang perlu memenuhi syarat berikut:

a. Menepati kehendak soalan

b. Mempersembahkan idea secara teratur dengan pendahuluan, isi-isi penting dan kesimpulan

c. Mempunyai isi-isi penting secukupnya, meliputi isi-isi tersurat dan isi-isi tersirat

d. Menggunakan bahasa baku dengan ejaan dan tanda baca yang betul

e. Menggunakan kosa kata yang tepat dan sesuai dengan laras bahasa petikan asal

2. Markah penuh bagi soalan ini ialah 30 dengan pembahagian seperti berikut:
isi – 10 isi X 2 markah = 20 markah
bahasa – 10 markah

3. Markah isi dibahagikan kepada bahagian berikut:
pendahuluan 2 markah
isi tersurat 8 - 12 markah
isi tersirat 4 - 8 markah
penutup 2 markah

4. Perkara yang perlu ada dalam rumusan
Pendahuluan
Isi Tersurat
Isi Tersirat
Penutup


Menganalisis Soalan Rumusan

1. Baca arahan dengan teliti.

2. Fahami penanda tugasan, yakni kata kunci dalam arahan soalan yang secara jelas menyatakan bahawa soalan itu adalah soalan 'merumus karangan'.

3. Kenal pasti fokus soalan, iaitu fokus pertama (F1) dan fokus kedua (F2) seperti langkah, punca, kesan, faktor-faktor, sebab dan sebagainya.

Arahan soalan
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang budaya kerja dalam kalangan rakyat Malaysia dan langkah membaikinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Penanda tugasan Tulis rumusan
Fokus pertama Budaya kerja dalam kalangan rakyat Malaysia
Fokus kedua Langkah-langkah membaikinya
Kehendak soalan Menulis rumusan tidak melebihi 120 patah kata tentang budaya kerja dalam kalangan rakyat Malaysia dan langkah-langkah membaiki budaya kerja tersebut.

Sila link ke bahagian berikut untuk keterangan seterusnya

Pendahuluan Rumusan

Isi Tersurat
Isi Tersirat
Kesimpulan Rumusan
Cara Menanda Skrip Rumusan


Cara Menanda Skrip Rumusan

Garis Panduan Sebelum Mula Menanda.

1. Kira jumlah perkataan yang ditulis oleh pelajar. Jika melebihi 120 patah perkataan, letakkan tanda ( // ) pada perkataan ke 120. Jika ayat terakhir berakhir pada jumlah perkataan melebihi 120, maka seluruh ayat tidak dikira sebagai satu isi.

2. Cara mengira jumlah perkataan :
* Kata nama khas/ peribahasa/ kata-kata hikmat/ kata sendi nama/ imbuhan - 1 perkataan
* Kata nama am/ penanda wacana - ikut bilangan perkataan
Contoh : Di samping itu : 2 patah perkataan
Begitu juga halnya dengan : 4 patah perkataan

3. Jika pelajar menulis rumusan dalam bentuk penomboran, markah bahasa diberi 50 % daripada markah yang sepatutnya pelajar dapat.

4. Jika pelajar menyalin seluruh petikan, pastikan penyalinan semula itu 100% serupa dengan petikan yang tertera pada kertas soalan termasuk tanda baca ( titik, koma ).Jika tidak disalin 100%, maka tanda setakat isi yang betul sahaja dalam lingkungan 120 patah perkataan.

5. Sediakan skema lengkap untuk pengenalan, isi tersurat, isi tersirat dan kesimpulan

6. Sediakan ruang untuk mencatat markah
Contoh :

P=
_______

S1
S2
S3
S4
S5
S6
S7
S8
_______

T

_______
k
( Markah ini diletakkan di sebelah kanan skrip pelajar )


Markah akhir :
P =
S =
T =
K =
______
I
B
______
J
______

P- pengenalan, S = Isi tersurat, T= Isi tersirat, K= Kesimpulan
I = Isi ( P + S + T + K )
B = Bahasa ( Biasanya separuh daripada markah isi

Arahan :
1. Baca ayat pelajar dengan teliti.
2. Jika pengenalan pelajar tepat, tandakan pada hujung ayat.
Contoh :

Pengenalan membincangkan sebab pelajar ponteng sekolah. / P 2
( Maksud : Pengenalan betul - 2 markah )

3. Jika isi pelajar tepat, tandakan pada hujung ayat :
Contoh :

Pelajar ponteng sekolah kerana dipengaruhi rakan sebaya. / S1- 2
Maksud isi tersurat nombor 2 (S2) tepat.

4. Pindahkan markah ke ruang yang disediakan ( seperti catatan nombor 6 di atas )

5. Akhir, jumlahkan semua markah isi
Contoh P = 2
S = 10
T = 4
K = 2
--------
I = 18
B = 7/8/9
--------
J= 25/ 26/ 27


NOTA PANDUAN :

1. Pengenalan ditulis dalam bentuk tema / menukar kata kunci atau arahan soalan.
2. Isi tersurat : Hanya isi dalam petikan diterima
3. Isi tersirat : Tiada mana-mana bahan petikan boleh diterima. Cipta pendapat baru
4. Kesimpulan : Mengandungi pihak, cadangan dan justifikasi cadangan.

Dipetik daripada Blog Cikgu Abdul Razak Bin Hassan

Ahad, 2009 Februari 15

Isi Tersurat

1. Isi tersurat bermaksud isi-isi yang dinyatakan atau dipaparkan dalam petikan.

2. calon-calon dikehendaki menyenaraikan isi-isi utama dalam petikan.

3. Biasanya sesuatu petikan mengandung 2 - 8 isi tersurat.

4. Isi tersurat ini MESTI menepati dan berada dalam ruang lingkup kehendak arahan soalan.

5. Dicadangkan isi tersurat ini dipersembahkan dalam bentuk satu ayat bagi setiap isi.

6. Isi tersurat perlu mempunyai subjek dan predikat sahaja. Semua unsur keterangan dalam subjek dan predikat tidak perlu diambil sebagai isi tersurat.

7. Penerangan subjek dan penerangan predikat dapat dikenal pasti, antaranya:

a. Contoh langsung - contohnya, misalnya, termasuk, umpamanya, dalam bentuk dan lain-lain.

Jumlah media cetak seperti akhbar, buku dan majalah telah berkembang dengan pesat.

b. Contoh tidak langsung - dengan, menerusi, ialah dan lain-lain.

Tindakan kerajaan terhadap pengemis dengan menangkap, menempatkan di rumah kebajikan atau menghantar pengemis asing ke negara asal mereka menelan belanja yang besar.

c. Huraian sesuatu konsep

MARDI badan yang memainkan peranan utama dalam menjalankan penyelidikan dalam bidang pertanian berjaya menemui baka koko jenis baru.

d. Huraian isi

Setiap sekolah perlu mempunyai kakitangan dan peralatan yang mencukupi. Tidak masuk akal sekiranya pengajaran dan pembelajaran tidak boleh dilakukan kerana masalah kekurangan guru dan kekurangan alat bantu mengajar.

Isi Tersirat

1. Isi tersirat tidak terdapat petikan.

2. isi tersirat perlu diolah sendiri oleh calon berdasarkan fokus kedua dalam soalan.

3. Isi tersirat MESTI menjawab/memenuhi kehendak arahan soalan.

4. Dicadangkan isi tersirat dipersembahkan dalam satu ayat bagi setiap isi.

5. Isi tersirat memerlukan calon berfikir secara kreatif dan kritis.

6. Dicadangkan minima dua (2) isi tersirat.

7. Berikut diberikan beberapa contoh mencari isi tersirat.

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah mengatasi masalah demam denggi dan implikasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Isi tersirat

a. Wabak denggi mudah berjangkit dan membawa maut.

b. Wabak denggi boleh menyebabkan demam yang berpanjangan dan menggganggu tugas seharian kita.

Kesimpulan Rumusan

1. Kesimpulan ialah cadangan/gagasan/harapan.

2. Kesimpulan merupakan rayuan calon kepada pihak-pihak tertentu untuk melakukan sesuatu supaya isu yang dibincangkan diambil tindakan.

3. Kesimpulan perlu dibuat dalam satu ayat sahaja.

4. Kesimpulan seelok-eloknya dimulakan dengan:

Kesimpulannya,...............
Kerjasama semua pihak perlu untuk ..............
Oleh yang demikian,.................

Pendahuluan Rumusan

Menulis Pendahuluan

1. Pendahuluan bermaksud pemahaman calon tentang keseluruhan petikan.
2. Jadi, isi pendahuluan ialah idea utama/tema/isi pokok.
3. Kata kunci arahan soalan (FS) boleh dijadikan panduan untuk menulis pendahuluan.
4. Baca petikan yang dikemukakan dengan teliti.
5. Fahami maksud keseluruhan petikan dan kenal pasti mesej utamanya.
6. Ingat semula fokus soalan (FS), iaitu fokus pertama (F1) dan fokus kedua (F2) yang diperolehi semasa menganalisis soalan.
8. Bina pendahuluan rumusan berdasarkan idea utama/keseluruhan petikan.
9. Seelok-elok pendahuluan ditulis dalam satu ayat dan dimulakan dengan:

Petikan membincangkan .................
Petikan menyentuh ..................
Petikan memperkatakan ................

10. Berikut diberikan contoh menulis pendahuluan petikan rumusan:

Arahan soalan
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini dan kesan-kesannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Pendahuluan:
Petikan membincangkan masalah yang berpunca daripada kemasukan pekerja asing ke negara kita. (2 markah)

Petikan membincangkan punca-punca kedatangan pendatang asing ke negara ini. (1 markah)

Analisis Cerpen Pusaran ( S.Othman Kelantan)


Sinopsis

Junid sangat akrab dengan Pusaran iaitu seekor anak lembu jantan peliharaan ayahnya. Namun, hubungan tersebut tidak disenangi oleh ayah Junid, Mohsin. Kata-kata Pak Cik Kar bahawa Pusaran kembar Junid menambahkan kebimbangan Mohsin lalu menjual Pusaran untuk dijadikan korban sempena hari Raya Haji/Korban. Apabila pulang dari sekolah, Junid mencari lembu kesayangannya yang hilang. Akhirnya, dia menemui Pusaran yang sudah diikat untuk disembelih. Junid meraung-raung supaya Pusaran dibebaskan. Mohsin tidak jadi menyembelih Pusaran.

Tema

Kasih sayang tidak mengenal status dan makhluk – Pusaran yang merupakan seekor anak lembu jantan amat disayangi oleh Junid.


Persoalan

- Ibu bapa mementingkan pendidikan anak-anak

- Masyarakat Islam mengadakan korban semasa Hari Raya Korban

- Peranan bomoh mempengaruhi pemikiran masyarakat

Watak dan Perwatakan

Junid

- Anak bongsu Mohsin dan Musalmah

- Menghabiskan masa bersama-sama Pusaran

- Amat sayang akan Pusaran

- Demam dan meracau apabila berpisah dengan Pusaran

Pusaran

- Anak lembu jantan

- Terdapat pusaran pada dahi,kepala dan bawah perut

- Menjadi tempat junid bermanja

Mohsin

- Ayah Junid

- Mempunyai 8 ekar tanah bendang dan 6 ekar dusun kelapa dan 20 ekor lembu

- Menjual Pusaran tanpa berunding dengan Junid

Latar

Latar Tempat

- Kawasan Kampung Gung Nibung

- Sekolah tempat Junid belajar

Latar Masa

- Waktu malam – perbincangan tentang Pusaran yang akan dikorbankan

- Ketika Junid berusia 6 tahun hingga masuk darjah 1

Latar Masyarakat

- Masyarakat kampung yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam

- Masyarakat petani (pesawah)

- Masyarakat yang mempercayai kata-kata bomoh

Nilai

- Kasih sayang – Junid amat mengasihi Pusaran walaupun Pusaran hanya seekor anak lembu

- Bertanggungjawab – Ibu bapa Junid mahu menyekolahkan Junid agar tidak lagi leka bersama Pusaran

- Patuh kepada agama – masyarakat di kampung mengadakan korban sempena Hari Raya Korban

Pengajaran

- Kita hendaklah mengasihi sesama makhluk termasuk haiwan

- Kita patutlah berbincang bersama-sama sebelum membuat sebarang tindakan

- Ibu bapa hendaklah memberi perhatian yang secukupnya kepada anak-anak

Friday, June 12, 2009

Ruangan ini memberikan kesempatan kepada sesiapa sahaja, khususnya kepada calon PMR untuk mendapatkan soalan-soalan contoh penulisan karangan dan cuba menghasilkan karangan sendiri berdasarkan petua dalam ruangan Jom! Kita Mengarang.

SENARAI SOALAN
1. Anda merupakan ketua pasukan rumah sukan yang akan menyertai kejohanan olahraga tidak lama lagi. Sebagai ketua rumah, anda sibuk mengatur beberapa persediaan untuk memastikan rumah sukan anda menjadi juara.
Ceritakan persediaan-persediaan yang telah anda lakukan menjelang hari kejohanan tersebut.

2. Satu projek menghijaukan kawasan sekolah telah dijalankan untuk menyahut seruan kerajaan menghijaukan kawasan persekitaran.
Sebagai setiausaha Kelab Keceriaan sekolah anda dikehendaki menuliskan laporan tentang aktiviti tersebut untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. tuliskan laporan itu selengkapnya.

3. Usaha-usaha ke arah perpaduan terus mendapat perhatian semua pihak di negara ini sejak dahulu lagi.
Huraikan kepentingan-kepentingan perpaduan kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

4. Setiap bulan sekolah anda telah mengadakan pertandingan kelas terbersih.
Nyatakan langkah-langkah yang telah anda dan rakan-rakan sekelas anda lakukan untuk memastikan kebersihan kelas anda.

5. Unit berpakaian seragam yang anda anggotai telah mengadakan aktiviti perkhemahan tahunan di salah sebuah tapak perkhemahan di negara ini.
Sebagai setiausaha unit berpakaian seragam yang anda anggotai, anda dikehendaki menulis sebuah laporan yang lengkap sepanjang perkhemahan itu untuk diserahkan kepada guru penasihat.

6. Kebanyakan tempat pelancongan di negara ini telah mengalami pencemaran yang agak membimbangkan banyak pihak.
Huraikan punca yang menyebabkan perkara ini berlaku dan cadangkan langkah untuk mengatasinya.

7. Gejala lepak sering dikaitkan dengan sikap remaja pada masa kini yang gemar berpoya-poya.
Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini berlaku?

8. Sebuah kawasan lapang berhampiran dengan tempat tinggal anda telah dijadikan tapak pelupusan sisa toksik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tuliskan sepucuk surat kepada pihak yang berkenaan untuk mengadukan hal tersebut dengan menyatakan masalah yang dihadapi oleh penduduk yang tinggal berdekatan dengan tempat itu.

9. Kerajaan Malaysia sedang menjalankan kempen kitar semula secara besar-besaran di seluruh negara.
Bincangkan kebaikan-kebaikan Program Kitar Semula.

10. Anda telah menyertai pertandingan syarahan anjuran sekolah anda. Tajuk syarahan itu ialah ‘Kepentingan Budaya Membaca Kepada Masyarakat’
Tulis syarahan anda itu selengkapnya.
Jom! Kita Mengarang
Sebagai permulaan kita akan membicarakan komponen penting dalam penulisan karangan. Jom! Kita teliti komponen tersebut.

Teknik Penulisan Pendahuluan

Pendahuluan merupakan keterangan ringkas tentang perkara yang akan diketengahkan dalam karangan. Pendahuluan yang baik dapat memberikan gambaran menyeluruh tentang perbincangan dalam bahagian isi.

Teliti perkara-perkara berikut yang perlu ada dalam perenggan pendahuluan.

PERKARA PENTING DALAM PERENGGAN PENDAHULUAN

Ringkasnya perenggan pendahuluan mengandungi ayat-ayat yang disusun seperti berikut;

Kehendak soalan yang dikemukakan.



Isu atau perkara yang berkaitan dengan soalan.









Keterangan isu atau perkara yang berkaitan dengan kehendak soalan

HALA TUJU SOALAN (Sebab/langkah/kesan)

Bahagian terpenting yang kerap ditinggalkan oleh pelajar ialah HALA TUJU SOALAN yang menjuruskan karangan kepada kehendak soalan.

PENDAHULUAN CONTOH

Soalan : Kerajaan telah mengisytiharkan bahawa demam denggi telah menjadi wabak di negara ini.

Jelaskan langkah-langkah yang dapat diambil untuk mengatasi masalah ini.

(A1) Demam denggi merupakan ancaman yang tidak boleh dipandang ringan. (A2) Pertambahan bilangan pengidap demam denggi yang kian bertambah menyebabkan pihak kerajaan mengisytiharkan demam denggi sebagai wabak yang melanda negara kita. (A3) Masalah ini jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan wabak ini sukar dikawal. (A4) Pelbagai langkah dapat diambil bagi mengatasi masalah ini daripada merebak dan membahayakan nyawa terutamanya kanak-kanak.




CARA PENGOLAHAN ISI KARANGAN

Sesetengah pelajar beranggapan bahawa karangan mereka telah dikembangkan isinya apabila melihat perenggan yang ditulis mengandungi beberapa ayat. Tanpa disedari mereka kadang kala mencampuradukkan beberapa isi pokok dalam satu perenggan. Seharusnya satu perenggan isi hanya menghuraikan isi berkenaan sahaja bukannya perkara lain yang tidak mempunyai relevansi dengan perkara berkenaan.

Teliti contoh pengembangan isi di bawah yang dihuraikan secara mudah tetapi berkesan untuk menjelaskan perkara yang mahu disampaikan. Teknik ini agak mengikat idea pelajar, namun amat berkesan untuk memastikan pengembangan isi yang baik dan berkesan.

KESILAPAN DALAM PENGOLAHAN ISI KARANGAN

Mencampuradukkan isi dalam satu perenggan. Terdapat pelajar yang menulis perkara yang diketahui dan tidak menulis perkara yang dikehendaki dalam soalan. Misalnya soalan berkehendakkan faktor penyebab, pelajar memasukkan isi tentang kesan.

Tidak menuliskan contoh sebagai bukti huraian atau hujah yang disampaikan. Contoh dalam sesuatu huraian isi merupakan pengukuhan kepada isi yang mahu disampaikan.

Hanya memberikan tumpuan kepada satu aspek bagi soalan yang memerlukan huraian tentang beberapa perkara. Misalannya bagi soalan yang bertanyakan punca dan langkah, pelajar hanya memberikan punca tanpa memberikan perhatian terhadap langkah.

Soalan contoh 1

“Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak kebelakangan ini”.

Pada pendapat anda, siapakah yang bertanggungjawab menangani masalah ini.

Isi yang mahu disampaikan;

* Peranan ibu bapa mengawal aktiviti dan tingkah laku anak-anak.

APA

Apakah isi pokok yang mahu disampaikan

Ibu bapa merupakan pihak yang paling berkesan dalam usaha mengawal aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka.


MENGAPA

Mengapa boleh berlaku apa (isi pokok)

Hal ini disebabkan ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dan paling faham dengan aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka.





BAGAIMANA / KESAN DARIPADA APA

Bagaimanakah boleh berlaku apa (isi pokok)

Dengan demikian, ibu bapa dapat sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti yang dilakukan oleh remaja..






BUKTI / CONTOH

Apakah contoh yang dapat menunjukkan apa (isi pokok)

Misalnya, ibu bapa boleh memberikan teguran dan nasihat sekiranya tingkah laku dan perbuatan anak-anak mereka mula menampakkan unsur-unsur negatif.






PENEGASAN / RUMUSAN ISI

Kesimpulan daripada isi – kembali kepada persoalan pokok.

Sekiranya semua ibu bapa memainkan peranan masing-masing dengan berkesan, pembabitan remaja dalam kegiatan jenayah akan dapat dikurangkan..

Perenggan lengkap:

Ibu bapa merupakan pihak yang paling berkesan dalam usaha mengawal aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka. Hal ini disebabkan ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dan paling faham dengan aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka. Dengan demikian, ibu bapa dapat sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti yang dilakukan oleh remaja. Misalnya, ibu bapa boleh memberikan teguran dan nasihat sekiranya tingkah laku dan perbuatan anak-anak mereka mula menampakkan unsur-unsur negatif. Sekiranya semua ibu bapa memainkan peranan masing-masing dengan berkesan, pembabitan remaja dalam kegiatan jenayah akan dapat dikurangkan..

Apitan Memper-…-i untuk Lima Kata Dasar Sahaja

Inti sari ruangan Pintar Bahasa dalam majalah Dewan Pelajar, Januari 2009.

Penggunaan apitan memper-…-i adalah untuk lima perkataan sahaja, iaitu
ingat → memperingati
isteri → memperisteri
kawan → memperkawani
senjata → mempersenjatai
suami → mempersuami


Perkataan lain tidak menerima apitan memper-…-i. Apabila kita menemukan perkataan lain, selain lima perkataan di atas, penggunaannya tidak baku atau lewah. Perkataan contoh yang tidak baku adalah seperti yang di bawah:

memperbaiki* → membaiki
memperolehi* → memperoleh
memperakui* → mengakui
memperhalusi* → memperhalus
memperkuasai* → menguasai
memperdalami* → memperdalam
mempersetujui* → menyetujui
memperbaharui* → memperbaharu

PENULISAN PENDAHULUAN

  1. Pendahuluan perlu ditulis mengikut jenis karangan.
  2. Karangan berformat harus mengikut format yang betul seperti yang telah dipelajari.
  3. Karangan jenis perbincangan dan seumpamanya memerlukan pendahuluan ditulis dalam 1 perenggan sahaja.
  4. Ia harus menarik dan boleh menggambarkan kandungan keseluruhan karangan.
  5. Jika perlu, pendahuluan yang berciri provokatif juga boleh digunakan asalkan tidak keterlaluan.
  6. Jangan masukkan isi dalam perenggan pendahuluan.


PENULISAN ISI

  1. Untuk semua jenis karangan, jumlah isi minimum yang diterima ialah 3.
  2. Walau bagaimanapun, disarankan anda menulis daripada 3 hingga 5 isi utama.
  3. Setiap isi utama harus diikuti oleh isi sokongan, huraian dan contoh.
  4. Isi sokongan mungkin 1 atau 2 mengikut kesesuaian tetapi tidak terlalu banyak.
  5. Pastikan setiap isi ditulis dalam satu perenggan.
  6. Gunakan penanda wacana yang bersesuaian pada permulaan perenggan supaya kelihatan berkaitan dengan perenggan sebelumnya.
  7. Susun isi mengikut urutan peristiwa dan urutan kepentingan.

PENULISAN KESIMPULAN

  1. AMAT PENTING! Semak karangan anda sebelum tulis kesimpulan supaya tiada isi penting yang tertinggal.
  2. Setelah pasti, barulah tulis perenggan pendahuluan.
  3. Kesimpulan juga harus mengikut jenis karangan.
  4. Pastikan ia ditulis dalam 1 perenggan sahaja dan tidak terlalu panjang.
  5. Kesimpulan harus merupakan rumusan kepada isi karangan secara keseluruhan.
  6. Ia mungkin merupakan penegasan atau cadangan terhadap fokus soalan.
  7. Jika ingin memberikan pendapat, pastikan ia berbentuk umum tetapi menjurus kepada fokus soalan.